Siapakah Hilmi Ngah ?

Nama : Mohd Hilmi Bin Ngah
Tarikh Lahir : 03 May 1982
Tempat Di Lahirkan : Kuala Terengganu

Aku adalah hamba Allah yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan bahagia.

Ayahandaku adalah sorang guru agama (ustaz Ngah) dengan perwatakan yang pendiam tetapi tegas dan sangat utamakan pendidikan agama. Di zaman persekolahan, ayahandaku adalah sorang pelajar yang cemerlang pada zamannya dan amat sukakan ilmu. Berkat denga usaha yang gigih walaupun tanpa dorongan ayahanda-bondanya, ayahandaku berjaya melanjutkan pelaran di Universiti Madinah dalam bidang Usulluddin@Akidah. Sifat yang paling ketara pada dirinya adalah sangat berjimat cermat dan tidak suka mengambil banyak risiko.

Bondaku adalah sorang wanita yang lembut tetapi sangat tegas dalam disiplin dan pelajaran. Bondaku dibesarkan dalam keluarga yang susah dan menjadi emak kedua kepada adik-adiknya kerana bondanya sibuk mencari sesuap nasi. Terpaksa menguruskan keluarga, makan-minum dan persekolahan adik beradiknya, ibuku sendiri tidak mendapat sokongan dan peluang yang cukup untuk persekolahannya sendiri dan akhirnya tercicir dalam MCE. Mungkin kerana itulah, bondaku sangat mengutamakan pelajaran anak-anaknya dan tidak syak lagi, itulah pendorong dan salah satu asbab aku akhirnya berada di menara gading.

Aku pada dasarnya adalah sorang anak yang nakal, sukakan cabaran, bersikap ingin tahu yang kuat dan suka mengikut kata hati sendiri. Sukar untuk fokus dan cepat bosan terhadap sesuatu menyebabkan betisku tidak sunyi dari belang-belang akibat rotan ayahandaku dan tidak terkira berapa banyak cubitan dan berapa panjang telinga ku ini ditarik oleh bondaku. Begitulah tragisnya usaha yang perlu di lakukan oleh ayah dan bondaku untuk membentuk aku menjadi manusia seperti sekarang.

Minat aku pada benda-benda teknologi telah lama tertanam dalam darah dagingku. Entah berapa banyak jam-jam tangan ayahku yang telah aku rendam dalam kolah mandi hanya kerana mempunyai perkataan “water resistant”. Ia bukan salahku. Bondaku yang menterjemahkannya ke dalam bahasa melayu dan aku hanya menguji kualiti buatannya. Itu tidak termasuk jam dinding yang aku tak tahu nak pasang balik gear-gearnya setelah aku hairan macam mana ia bergerak, dan kompas ayahku yang telah biol kerana aku cuba gunakan magnet untuk memprogramkan semula jarumnya untuk menunjukkan ke arah barat (kiblat). Bergelarkan “Profesor Penjahaman” dalam keluarga, aku makin kerap membuat experiment-experiment dalam pelbagai bidang, contohnya menjirus air panas ke pokok-pokok renek untuk melihat bagaimana ia berreaksi. Oh, begitu indah dunia sewaktu kecilku.

Apabila aku meningkat ke alam persekolahan (rendah)… aku mula menukar hobi dari mengeksperimen kepada mencipta. Dan dari situlah aku mula jadi ulat buku yang berjaya menghabiskan semua ensiklopedia di perpustakaan awam dan perpustakaan awam yang boleh aku baca untuk mencari idea. Oh… tidak lupa juga buku kemahiran hidup tingkatan 1-3 milik kekandaku (bahagian elektronik sahaja) yang akhirnya berjaya memupuk minatku dalam rekaan elektronik dan kepada sepupuku ICA yang memperkenalkan aku dengan dunia programming (GWBASIC) tatkala umurku 12 tahun. Semua ini adalah kick-off yang penting dan bejaya membentuk minat aku kepada perkara yang lebih berguna. Tidak lupa… jutaan terima kasih kepada ayahandaku yang turut sama menyokong minatku dengan membeli komponen-komponen elektronik di “kedai elektronik onn” untuk aku uji litar-litar dalam buku kemahiran hidup walaupun aku tidak tahu bagaimana ia boleh berfungsi. Dan jauh disudut hatiku, aku ingin memohon maaf kepada ayahandaku kerana tidak menggunakan PVCnya yang ditebuk-tebuk khas untukku ketika aku meminta litar PCB (printed circuit board).

Berbilion terima kasih kepada ayahanda dan bondaku kerana sudi memberi peluang untukku masuk ke kelas komputer pada tingkatan 2 (setelah gagal memujuk pada tingkatan 1 dek yuran yang mahal – RM50) dan ia adalah turning point yang sangat penting dalam hidupku. Bermula sebagai underdog… aku diketawakan rakan-rakan sekelas (yang masuk sejak tingkatan 1) kerana tidak tahu macam mana hendak menghidupkan komputer. Itu tidak termasuk terkebil-kebil melihat C prompt tatkala kesemua rakan-rakan sekelas sudah mula bermain-main dengan windows 3.1 (kursus paling basic adalah windows). Ohhhh betapa segarnya dalam ingatan, bagaimana aku balik ke rumah sambil muka masam dan merah kerana tiada siapa yang mahu melayan soalan-soalanku, termasuk senior-senior. Aku memang sangat yakin mereka buat-buat tidak dengar kerana bosan menjawab soalanku. Salahkah aku bertanya kerana tidak tahu? Adakah ketinggalan 1 tahun dalam kelas komputer adalah satu dosa? Ooooo aku masih ingat betapa merah mata ini menahan titisan air mata kerana terasa terhina… dan betapa aku bersumpah tidak akan bertanya lagi dan berjanji suatu hari nanti, aku akan pastikan aku tak akan menjawab soalan mereka apabila aku lebih pandai daripada mereka.

Alangkah comelnya apabila aku ingatkan semula bagaimana aku meminjam buku DOS 5.0 (English) dan Cakera Keras (BM) dari pada perpustakaan semata-mata kerana dendam kesumat dalam hatiku. Berbekalkan keputusan E (23/100) dalam matapelajaran Bahasa Enggeris (tingkatan 1), aku masih jelas bagaimana aku merangkak-rangkak menterjemah satu persatu perkataan dalam buku DOS 5.0 setiap hari sehingga habis kesemuanya. Buku yang setebal ibu jari itu menjadi teman setiaku sehingga bulat mata bondaku melihat aku membaca buku berbahasa inggeris yang tak mungkin aku sentuh sebelum ini. Oh ayahandaku.. terima kasih kerana membelikan buku DBASE III Plus (BM) dan WordStar 6.0 (BM) sebagai hadiah kepadaku selepas melihat minat aku dalam komputer. Tidak lupa juga untuk buku Windows 3.1 (English) setelah aku terangkan bahawa aku tidak belajar DBASE III Plus dan Wordstar 6.0 di sekolah. Ohh… alangkah comelnya aku ketika itu menterjemah buku Windows 3.1 satu persatu setelah habis menterjemah buku DOS 5.0.

Sekalung penghargaan aku hadiahkan kepada Abang Zack@Zikri (sedang tunggu result SPM), pengurus sementara Kelab Komputer kerana membenarkan aku menggunakan kelab komputer pada waktu rehat & selepas kursus kelab komputer (4.30pm) untuk menguji teori-teori yang telah aku pelajari dari buku-buku itu. Maafkan daku kerana terdelete semua fail-fail dalam c: ketika menguji command DEL (del *.*). Bukan niatku begitu…. aku ingin menguji command itu kepada disketku…. tetapi aku terlupa menukar drive kepada A:. Akan tetapi… aku sudah tebus kesalahanku beberapa hari kemudian setelah aku sampai ke chapter UNDELETE.

Oh, abang Zack, jasamu dikenang sepanjang hayat kerana memberi kepercayaan untuk menaikkan aku sebagai Tenaga Pengajar hanya selepas 3 bulan aku menganggotai Kelab Komputer sebagai underdog. Aku masih ingat beberapa hari sebelum itu, aku dengan bangganya menginstall program MENU yang aku buat sendiri menggunakan DOS BATCH ke semua komputer di dalam kelab komputer. Aku harap, dengan program MENU itu pelajar baru tak akan terkebil-kebil melihat C prompt lagi untuk launch windows atau lotus 123 atau wordperfect, terutamanya tiada standard penamaan folder untuk setiap PC di situ dan orang baru macam aku (dulu), dan tidak tahu command DIR, stuck pada PC tertentu sahaja kerana tidak tahu nama folder untuk ditaip.

Oh… tidak lupa aku ucapkan PADAN MUKA kepada senior-senior yang bertanya macam mana aku buat (atau marah-marah dan nak aku buang semua menu tu) kerana tiba-tiba aku menjadi pekak terhadap suara mereka. Ha ha ha ha…. dendam kesumat aku itu sudah terbalas. Dan tidak lupa juga aku ingatkan dendam kesumat aku masih tidak padam terhapat kumpulan ANTI-HILMI yang berjaya mengusir aku dari kelab komputer itu setelah menfitnah aku merosakkan beberapa komputer yang rosak ketika cuti sekolah. Manakan mungkin aku boleh rosakkan komputer itu kerana aku tidak datang ke kelab komputer pada cuti sekolah (tapi akhirnya aku tahu mereka yang datang bermain game pada cuti sekolah). Hanya kerana aku cuba lihat apabila yang menyebabkan komputer itu tidak boleh-ON (apabila persekolahan dibuka semula) aku boleh dipersalahkan sebegitu rupa? Tanpa kelibat abang zack (sebab dah masuk universiti), aku tiada lagi backup dan senior-senior + 1 pekerja sekolah (ganti abang zack pegang kunci kelab + bersekongkol main game di kelab masa cuti sekolah) yang memang sudah lama berbulu ngan aku (sebab hide & password protect folder game mereka, buat MENU dan letak nama aku sebagai pencipta dll). Malangnya guru komputer (ustaz) percaya kata-kata mereka dan percayakan bukti-bukti mereka (dengan menunjukkan kpd ustaz program MENU aku dan folder game yang aku aku password protect) bahawa aku suka mengubah sistem komputer dan menyebabkan komputer rosak sehingga tidak boleh ON (hardware failure). Apakan dayaku melawan kata-kata ustaz yang menjerkah aku ketika aku melawan bukti-bukti bodoh mereka itu.

Berbilion jutaan terima kasih aku ucapkan kepada ayahandaku yang sanggup sponsor 50% daripada RM4000 kos pembelian komputer (lagi 50% adalah duit simpanan aku, adik li, abang, kakak) yang menyebabkan aku tidak perlu bergantung kepada kelab komputer untuk meneruskan minat aku (yang baru terpupuk) dalam programming (QBASIC & kemudiannya QUICK BASIC) yang memudiannya menyaksikan kebangkitan aku dalam dunia programming. Malah, ia adalah asas yang sungguh kukuh dan masih aku gunakan sehingga kini dan telah membuka pintu terhadap pelbagai kemahiran yang aku perolehi sekarang. Rasanya sudah terlalu panjang “ringkasan sejarah” hidupku yang telah diceritakan dalam entry ini. Teruskan mengikuti blog aku ini kerana banyak lagi kisah-kisah silam yang aku akan bongkarkan dengan lebih terperinci.

Untuk dipendekkan cerita, 13 tahun kemudian… Hilmi ketika kini, sedang berkerja sebagai jurutera dalam bahagian Failure Analysis di Intel secara full-time. Berbekalkan ilmu yang dipelajar dalam Bachelor Of Engineering (Computer), dan pengalaman membuat R&D dalam pelbagai bidang sejak dari undergraduate, Hilmi sekarang sedang aktif dan menjalankan pelbagai penyelidikan (R&D) untuk dikomersialkan dibawah syarikatnya sendiri (buat masa ini part-time) NovaSmart Technology. Berbekalkan prinsip “Maju Bersama”, Hilmi sentiasa membuka peluang untuk sesiapa sahaja untuk bekerjasama.. tidak kira secara idea, partnership atau pun profit sharing asalkan boleh membangunkan syarikatnya yang baru setahun jagung ini.

Comments

  1. hariyanti says:

    Apa prkhidmatan yg dsediakan NovaSmart Technology?

  2. comflash2 says:

    Kebanyakannya dalam programming, elektronik, AI dan lately hardware. Masuk ke http://www.novasmarttechnology.com untuk makluman lanjut